❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤


Menulis blog hanya untuk suka-suka. Menulis tentang kehidupan sehariannya yang sangat peribadi dengan harapan tiada siapa yang membaca. Baginya "Blog ku diari ku". Kadang-kadang suka memberi pandangan dan berkongsi sesuatu supaya Si Pembaca mendapat manfaat dan beliau beroleh ganjaran. Ditulis dengan hati, jadi, apa yang anda baca, itulah yang hatinya sedang katakan. Tiada paksaan untuk membaca, mengikuti mahupun mengStalk blog ini. Terima kasih kerana sudi bukak dan baca kisah hidup beliau.



❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤❤
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, December 30, 2012

2012. Sungguh cantik aturanMU.





Hari terahir untuk 2012 ini, Allah turunkan rahmatnya, di kala pagi-pagi lagi, di kala tidur aku sedang nyenyak, di kala air perlu di siram ke badan, dikala aku sepatutnya berada di office, Allah datangkan hujan yang panjang, yang lebat. Pagi ini tenang sekali. Bangun aku jugak awal. Seawal jam 5.50 pagi, tapi disebabkan kedinginan yang menyusuk sampai ke tulang benulang, maka, di lajakkan sikit waktu tidurnya. Syaitan merangkul badan. Berat di rasa untuk mengadapNYA. Tapi, nasib baik kesedaran itu agak menebal, beberapa minit kemudian berjaya di gagahi jugak untuk bangun. Yes!! Syaitan Kalah, aku menang!!

Esok sudah melangkah ke 2013. Cepat sungguh masa berlalu. Bila bertemu tahun baru, maka umur pun berganjak kepada satu takak yang lebih besar. Semoga bukan umur saja yang besar, akal juga semakin matang. Yang pastinya 2012 banyak meninggalkan kesan yang mendalam dalam hidup aku, banyak merubah pemikiran aku, cara aku, hati aku, banyak kisah sedih, kisah usaha, kisah gembira, kisah syukur yang tak terkira dan banyak kisah-kisah yang memberi pelbagai emosi untuk di rasa. 

Awal tahun 2012 di mulakan dengan kisah sedih. Kisah cubaan, dugaan yang harus aku tempuh dalam bergelar final year student. Ya Allah, tika itu hanya tuhan saja tahu rasa yang di tanggung ini. Aku tidak pernah menangis untuk hal-hal belajar sepanjang hidup aku, biar mendapat keputusan yang sangat tidak memuaskan, jarang aku gugurkan air mata untuk hal hal belajar. Tapi di ahir pengajian aku, ada saja perkara yang cuba merobek hati aku yang keras ini. Ahirnya, aku kalah, aku tumpas dengan hati sendiri. Hati yang membatu itu ahirnya bertukar menjadi tisu yang terlalu nipis, mudah sangat untuk terkoyak. Tapi aku syukur dengar rasa yang Tuhan ubah itu, sekurang-kurangnya, hati aku tak angkuh lagi tika berdoa, tika mengadap Ilahi, tika melihat alam ciptaan ini, tika merindui sesuatu yang Abadi, merindui mereka berjasa buat diri, mudah untuk merasa apa yang cuba aku pohon dari Allah. Rasa yang sampai keluar air mata. Walau pada mulanya, aku rasakan peristiwa itu sangat hitam sekali dalam tempoh hidup belajar aku, tapi sekarang baru aku sedar yang semua Allah aturkan itu adalah untuk mengubah hati aku yang dulu keras berbatu, kini jadi lembut seperti tisu. Syukur Ya Allah.

Bulan ke duanya, aku berhadapan dengan kisah mencari kerja. 2 bulan aku menganggur. Tidak berbuat apa-apa di rumah. Dua bulan di lalui dengan hati yang bimbang, hati yang resah dengan rezeki yang tidak kunjung tiba. Kerana pekerjaan yang tidak ada, kadang-kadang buat diri terasa sangat down untuk berhadapan dengan orang ramai. Dalam tempoh itu, masa aku cuba di isi sebaik mungkin. Berkerja dengan sesuatu yang hati gemari, membuat manik, membuat kad, belajar menjahit baju, belajar masak. Membuat sesuatu yang menjadi kegemaran hati, mampu buat resah gelisah aku hilang. Lupa untuk di runsingkan.


Dan kemudian, May mengambil tempat. Secara tidak di sangka-sangka, kakak menalifon. Datang KL malam nie jugak, esok jadi cikgu ganti di sekolahnya!!. Malam ini jugak? Errr. Keputusan yang harus di buat dengan segera, masa berfikir ada beberapa minit cuma. Tanpa memikir panjang, dan ibu ayah juga merestui, segera di kemas segala kain pakaian. Malam itu juga aku bertolak ke KL dan keesokkan hari melaporkan diri di sekolah yang jaraknya 5 langkah saja dari rumah kediaman kakak aku. Sungguh dekat. 3 bulan bergelar guru tidak menyulitkan aku, ada kakak, ada kawan-kawan kakak yang sudah aku kenal sebelum berkhidmat di sekolah itu lagi. Jadi, komunikasi aku jadi tidak janggal. Aku selesa. Mengajar aku juga mudah. Berhadapan dengan kanak-kanak istimewa. Tidak perlu persediaan yang rapi, ulangkaji di malam hari juga tidak ada. Menanda kertas periksa, kerja sekolah, semua itu tidak ujud untuk guru pendidikan khas. Bahgia terasa. Tapi dalam masa yang sama, hati tetap bimbang, bila 3 bulan tamat apa yang harus aku kerjakan?

3 bulan aku di kota lumpur, rindu pada ibu ayah tak perlu di ungkap. Kadang-kadang bila hati tak tertahan, mata berkaca, biar ada kakak dan anak-anak comel di sisi, tapi rasa rindu itu tak dapat di bendung. Waktu itu aku sedar, yang hati aku tak seperti dulu, aku jarang merindui mak ayah, keluarga, kampung sampai sebegini rupa. Mungkin dulu hati banyak di isi dengan kebahgiaan, keriangan dan bermacam aktiviti bersama kawan-kawan  lalu lupa untuk di kenang pada ibu ayah di kampung sana. Alahai, teruknya aku dulu. Sampai satu ketika, hati berharap sangat, supaya tidak ada rezeki yang datang pada masa akan datang. Kerna masa itu, mahu di habiskan dengan ibu ayah saja di kampung. Hurm, tidak molek berharap agar rezeki di kurangkan, tapi betul, waktu itu,  aku benar-benar harapkan. Kemudian, aku  berdoa agar Ramadhan yang akan tiba itu aku tidak berbuat apa-apa pekerjaan lagi. Mahu di gunakan sepenuhnya bersama keluarga, beribadah sebaik mungkin dalam bulan yang diberkati Allah.

1 Ramadhan, tempoh mengajar aku tamat. Lalu dengan segera membawa diri pulang ke sarang. Doa yang aku pohon Allah makbulkan. Harapan aku untuk menghabiskan masa Ramadhan bersama ibu ayah Allah berikan. Malah lebih dari yang aku pohon Allah datangkan. Beberapa hajat yang aku harapkan untuk Ramadhan itu terlaksana. Ramadhan yang aku lalui juga aku rasa bertambah baik dan banyak mengubah rutin yang selalu aku lalui pada ramadhan yang lepas-lepas. Ya Allah. Terima kasih.

Seminggu selepas berhari raya mendapat perkabaran dari seorang sahabat yang sama-sama menghadiri interview di satu kolej di Kuantan. Beliau berjaya dan sudah di panggil untuk mengajar pada minggu ke dua raya. Waktu itu, hati sangat bersedih. Nasib aku bagaimana? Sudahlah tidak ada interview lain lagi yang aku hadiri, berharap pada pekerjaan itu saja. Cuba untuk di pujuk hati agar redha dengan ketentuan Ilahi. Sebab harapan yang aku taruhkan sebelum itu sangat tinggi, lalu bila kenyataan yang sampai tidak seindah yang di harapkan, kadang-kadang ada rasa keluh. Keluh yang tidak baik untuk iman. Waktu itu cuba untuk berfikiran positif.

Di pertengahan Syawal, aku mendapat panggilan dari rakan yang sama, yang sudah seminggu memulakan pekerjaan di Kolej itu. Katanya, permohonan aku untuk mengajar di situ berjaya. Ya Allah. Hanya tuhan saja yang tahu perasaan ini tika itu. Aku sangat sangat sangat berharap agar kerjaya aku adalah pendidik, dari dulu lagi, dari tamat SPM lagi aku berusaha untuk menjadi pendidik. Tapi laluan ke arah itu Allah jauhkan dan sekarang Allah dekatkan pulak. Aku tidak kisah, kerna aku tahu perangcangan Allah adalah sebaik baik rancangan. Walau tidak sama dengan apa yang aku harapkan, tapi aku bersyukur atas apa yang Allah aturkan untuk aku. Kalau belajar aku dulu adalah bidang pendidikan, mungkin aku tidak dipertemukan dengan insan-insan yang banyak menyenangkan hati aku sekarang ini. Ada hikmah di sebaliknya kan.

Dan hikmah di sebalik tawaran kerja aku yang sedikit lambat itu, mungkin Allah mahu aku beraya sepuas-puasnya dulu bersama keluarga selama 2 minggu, dan memang aku nikmati dan gunakan masa 2 minggu bersama semua ahli keluarga dengan cukup bahagia. Kemudian, baru Allah datangkan rezeki untuk aku. Yes!! Pada mulanya aku bersedih hati, tapi bila masa berlalu, baru aku sedar yang di sebalik sedih itu adalah keindahan yang aku tak nampak. 

Memulakan hidup baru di bumi asing, jauh dari ibu ayah sangat memeritkan aku. Susah sukar memang aku perlu tempuh. Kisah wang belanja memang tidak pernah cukup. Nasib kerja aku sebelum ini adalah guru ganti dan gajinya di masukkan setelah tamat 3 bulan berkhidmat. Maka duit itu aku gunakan untuk memulakan hidup di bumi Kuantan. 2 bulan pertama berkerja di Kuantan dengan tidak bergaji. Hati bimbang, hati resah, tapi ada saja rezeki dari Tuhan yang tiba-tiba menjengah dari sumber yang aku tak sangka. Hurm. Betapa Allah itu Maha Mengetahui apa yang hati ini cuba sembunyikan, dan dari sifar Ar-Rahman, Ar-Rahim, di berinya rezeki yang tak pernah putus-putus. Syukur.

September, Oktober, November dan sekarang Disember. Genap 4 bulan aku bekerja sebagai pendidik di sebuah Kolej di Kuantan. Berhadapan dengan pelbagai jenis manusia, bermacam karenah, banyak mengajar aku tentang kehidupan. Kadang-kadang keliru dengan diri sendiri, mahu jadi yang bagaimana, membuat hal sendiri, hidup berkelompok dengan mengikut bontot mereka semua atau aku dengan cara aku.  Selalu pesan pada diri, tidak ada satu pekerjaan pun yang mudah dan jangan bimbang yang susah itu akan berahir. Hujan ribut pun akan berhenti, inikan susah payah. Mesti ada penghujungnya.

Bila December datang, banyak kisah gembira yang mambuat hati aku senyum sentiasa. Tertanya-tanya, apa sebenarnya yang Allah sudah atur untuk aku nie. Kadang-kadang hati bimbang, takut yang tersenyum itu tidak berpanjangan, yang tersenyum itu buat hati lalai leka. Bahaya di zone zone yang selesa ini. Kita akan lebih mudah lupa, kita akan cepat alpa.

Dan di pengakhir tahun ini, di penghujung disember ini, mendapat satu perkabaran gembira yang sudah setahun aku tidak putus putus berdoa untuk hajat itu.  Berdoa bersungguh-sungguh, menaruh harap yang tinggi, merindui berkali kali. Terlalu berhajat untuk yang itu. Dengan izin Allah, ada jemputan. Semua datang dari sumber yang aku tidak sangka-sangka. Syukur yang teramat-amat untuk hal itu. 

Setahun sudah berlalu pergi. Dan esok akan bertemu 2013. Sekarang, baru aku sedar, yang Allah aturkan untuk aku sangat sangat cantik, sangat sangat indah, ada sebabnya, ada hikmahnya. Mungkin di awal permulaan aku tidak nampak, aku tidak rasa. Tapi bila tiba di penghujungnya, bila tiba di garis bahgianya, baru aku sedar yang Allah berikan susah aku di awal tahun itu untuk merubah  hati yang keras berbatu jadi lembut, jadi mudah untuk merasa sesuatu. 

Kemudian, 2 bulan yang aku lalui penuh dengan resah gelisah menanti rezeki dari Allah, rupa-rupanya waktu itu, Allah mahu memberi peluang kepada aku, berbakti pada ayah bunda di kampung, mempelajari sesuatu yang akan menjadi tanggungjawab aku suatu hati kelak, membuat sesuatu yang hati aku gemari. Kalau tidak kerana dua bulan yang bersaja-saja itu, mungkin aku tidak tahu memasak, mungkin aku masih tersasar dari landasan, mungkin keakraban aku dengan mak ayah keluarga jauh renggang, mungkin ilmu menjahit aku masih kurang. Semua yang aku lalui ada hikmah bukan.

Di penghujung, aku diberikan kisah gembira buat diri. Pengganti yang sedih di permulaan dulu. Ya Allah, sungguh cantik aturanMU. Syukur Alhamdulillah dari hamba yang jahil ini....





Sesuatu yang telah dipelajari dari tahun 2012  ;


"Sentiasa bersangka baik pada Allah",

"Berniat baik dalam sesuatu hal"

"Apa yang kita niatkan itu yang kita dapat"

 "Rancangan Allah adalah paling terbaik"

"Bergantung pada Allah sahaja dalam semua perkara"

"Berdoa bersungguh-sungguh"

"Berdoa saja tidak cukup untuk mendatangkan sesuatu hajat, perlu ada usaha, dan sentiasa ingat Allah selalu"

"Sentiasa muhasabahkan diri"

"Paksa diri buat kebaikkan, lama-lama akan jadi terbiasa lalu bertukar rutin"

"Berani membuat perubahan"

"Biarpun sikit saja amalan baik yang kita buat, lama-lama akan menjadi besar"

"Cari yang Allah pandang, bukan manusia pandang"














PdanS : Semoga kisah 2013 lebih baik dari kisah 2012 ini. InsyaAllah. Dan Yes!! Setelah sekian lama hidup tidak berazam. Macam perlukan sesuatu untuk di Azamkan. Baru lah ada matlamat hidup kan. Jom buat Azam tahun baru!!!

No comments: